4 Mei 2026, Sabak Bernam - SK Tanjong Jawa telah mencipta satu pencapaian penting apabila menjadi sekolah pertama di negeri Selangor yang mengguna pakai sistem SkoolBeez. Program yang merangkumi sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU), serahan peranti serta simulasi penggunaan sistem ini telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SkoolBeez, melibatkan Tuan Ayub bin Mahmudin selaku Guru Besar bersama seluruh warga guru dan murid sekolah.

Sesi dimulakan dengan penyerahan kad kepada murid diikuti taklimat ringkas serta simulasi penggunaan sistem. Pendekatan ini membantu murid memahami fungsi asas SkoolBeez secara praktikal dan mudah, sekali gus memperkenalkan penggunaan teknologi digital dalam menyokong aktiviti pembelajaran serta pengurusan harian sekolah.

Bagi guru-guru, sesi demonstrasi sistem dan latihan pengguna secara hands-on telah dijalankan bagi memberi pengalaman penggunaan secara langsung. Fokus utama diberikan kepada modul NILAM, Kehadiran dan Pusat Sumber Sekolah (PSS), di samping pendedahan kepada ciri tambahan seperti AI OPR dan perekodan PAJSK secara pukal. Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan guru, malah membantu memperkemas pengurusan data dan pelaporan secara lebih sistematik dan efisien.

Program diteruskan dengan majlis menandatangani MOU antara pihak sekolah dan Bit Extreme Infotech Sdn Bhd sebagai simbol komitmen bersama dalam melaksanakan penggunaan SkoolBeez secara menyeluruh. Ini disusuli dengan sesi simbolik serahan peranti bagi memastikan kemudahan teknologi yang mencukupi tersedia untuk menyokong pelaksanaan sistem secara lebih efektif di sekolah.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif yang dirancang, malah menandakan langkah awal pembukaan pasaran SkoolBeez di luar Johor. Dengan penglibatan penuh warga sekolah serta sokongan pentadbiran, SK Tanjong Jawa kini menjadi perintis dalam membawa transformasi digital pendidikan di Selangor.

Inisiatif ini membuktikan bahawa SkoolBeez berpotensi besar untuk diperluaskan ke lebih banyak sekolah di seluruh negara sebagai platform pengurusan sekolah yang moden, bersepadu dan berimpak tinggi kepada guru, murid serta ekosistem pendidikan secara keseluruhan.